Thursday, October 29, 2009

TUGASAN 3: LAPORAN KOLOKIUM

ULASAN PEMBENTANGAN 1:

TAJUK:

MENINGKATKAN KEYAKINAN PELAJAR BERMASALAH PENDENGARAN UNTUK BERKOMUNIKASI SECARA LISAN DENGAN MENGGUNAKAN KAEDAH ‘VERBAL REPEATITION’ DALAM PROSES PEMBELAJARAN DAN PENGAJARAN.


PEMBENTANG: NAJWA HAYATEE BT ABDULLAH, SUZANA BT MOHD FAUZI, DAN UMMI SALMAH BT ADNAN

*a. PERNYATAAN MASALAH


Tujuan kajian ini dijalankan ialah untuk meningkatkan keyakinan pelajar bermasalah pendengaran berkomunikasi secara lisan. Terdapat dua pernyataan masalah di dalam kajian ini iaitu:

1) Adakah kaedah 'verbal repeatition ini dapat meningkatkan keyakinan pelajar bermasalah pendengaran untuk berkomunikasi secara lisan dalam Pengajaran dan Pembelajaran.

2) Adakah pelajar bermasalah pendengaran dapat menguasai sebutan istilah perkataan dalam P&P enggan menggunakan kaedah ’ verbal repeatition’


* b. METODOLOGI KAJIAN


Ia melibatkan 19 orang pelajar di dalam kelas di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Ya’akob. Model yang digunakan adalah Model Lingkaran Kemmis dan Mc.Taggart (1998). Model lingkaran ini melibatkan perancangan, tindakan, pemerhatian dan refleksi.


* c. PENGUMPULAN DAN PENGANALISISAN DATA


Pengumpulan data diperolehi daripada pemerhatian, rakaman video, temubual dan diari. Diari merujuk kepada catatan guru dan rancangan pengajaran harian. Berdasarkan kajian ini, saya dapati pengkaji hanya menggunakan kaedah kualitatif dan tidak menggunakan kaedah kuantitatif dalam pengumpulan data. Ini mungkin kerana agak sukar untuk pengkaji melakukan survey ke atas pelajar bermasalah pendengaran.


Berdasarkan pembentangan analisis data kajian, para pembentang menyatakan hasil dapatan kajian secara umum. Contohnya analisis dapatan kajian daripada temubual, pengkaji hanya menyatakan sesetengah pelajar sukar untuk menyebut perkataan yang mengandungi huruf-huruf konsonan tanpa menunjukkan bilangan pelajar tersebut secara tepat. Sekiranya data tersebut dapat disertakan dengan angka bilangan pelajar, ia akan menjadikan analisis tersebut terbukti tepat dan menarik.


* d. IMPLIKASI KAJIAN


Implikasi kajian menunjukkan kaedah ‘verbal repeatition’ yang digunakan dapat meningkatkan keyakinan dan motivasi pelajar. Selain itu, pelajar juga berpeluang untuk membetulkan sebutan istilah-istilah yang agak sukar dan melalui kajian ini guru berjaya membantu pelajar supaya terlibat aktif di dalam kelas.


* e. APA YANG DAPAT DIPELAJARI


Hasil daripada kajian ini saya dapati pelajar bermasalah pendengaran sebenarnya mampu untuk menyebut sekiranya mereka dibantu dan diberi bimbingan. Saya juga dapat mengetahui cara pengkaji melakukan aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan objektif kajian tercapai. Dari sini saya boleh mengambil info tentang cara mendidik pelajar bermasalah pendengaran dalam meningkatakan keyakinan mereka untuk berkomunikasi. Kajian ini sangat berguna untuk saya praktikkan sekiranya saya mengajar pelajar bermasalah pendengaran semasa di sekolah nanti .


- Perbincangan: Kajian ini sesuai dengan kajian tindakan kerana kajian yang dilakukan adalah untuk tujuan penambahbaikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran iaitu untuk meningkatkan keyakinan pelajar bermasalah pendengaran berkomunikasi secara 'verbal repeatition'.


ULASAN PEMBENTANGAN 2


TAJUK:

MENINGKATKAN PENGUASAAN DAN MINAT PELAJAR DALAM JAWI MELALUI KAEDAH ‘CONGAK JAWI’.


PEMBENTANG: KHUZAIMAH BT. MOHD DAUD DAN SITI KHAIRIYAH BT. SEJO.


*a. PERNYATAAN MASALAH

Berdasarkan pembentangan tajuk kajian tindakan di atas, saya merasakan ia adalah suatu topik yang menarik. Terdapat tiga pernyataan masalah yang dinyatakan oleh pengkaji. Saya bersetuju dengan pernyataan masalah yang pertama dan kedua iaitu pengkaji ingin melihat adakah kemahiran dan penguasaan jawi dapat ditingkatkan menggunakan kaedah ‘congak jawi’ dan adakah minat pelajar terhadap jawi dapat ditingkatkan menggunakan kaedah ‘congak jawi’. Namun, pada pendapat saya pengkaji seharusnya mengenalpasti terlebih dahulu apakah punca pelajar tidak berminat dan tidak dapat menguasai jawi. Adakah ianya berpunca dari dalam diri pelajar sendiri ataupun faktor lain seperti guru yang tidak memberi penekanan tentang penulisan jawi. Setelah mengetahui punca tersebut, pengkaji boleh mengaplikasikan kaedah congak jawi bagi melihat sama ada ia mampu menjadi penyelesaian punca tersebut ataupun tidak. Malah, pada pendapat saya permasalahan yang saya nyatakan masih tidak lari daripada topik kajian tindakan pengkaji.


Selain itu, saya juga ingin menyatakan bahawa saya kurang bersetuju dengan pernyataan masalah yang ketiga di mana pengkaji menyatakan adakah penggunaan kaedah ‘Congak Jawi’ boleh menambah perbendaharaan kata jawi pelajar. Pada pendapat saya jawi hanya merujuk kepada penulisan ejaan. Perbendaharaan kata jawi biasanya berasal daripada perkataan bahasa arab yang dijawikan seperti istinja’, maujud dan sebagainya. Ia adalah perkataan-perkataan bahasa arab yang dieja di dalam ejaan jawi. Sekiranya pelajar membaca buku agama yang ditulis di dalam ejaan rumi juga pelajar boleh menjumpai perkataan-perkataan tersebut. Ini kerana sebelum ini saya juga telah mempelajari matapelajaran pendidikan islam dan bahasa arab. Berdasarkan pengalaman saya penguasaan jawi memberikan kelebihan untuk kita membaca dan menguasai penulisan jawi. Dari segi perbendaharaan kata pula adalah kurang bersesuaian kerana perbendaharaan kata yang diambil adalah daripada bahasa melayu ataupun bahasa arab yang ditulis dalam tulisan jawi. Namun begitu, saya tidak mengatakan bahawa pengkaji adalah salah kerana berdasarkan kajian pengkaji juga terbukti bahawa kaedah ‘Congak Jawi’ dapat menambah perbendaharaan kata pelajar.


* b. METODOLOGI KAJIAN


Metodologi kajian yang digunakan oleh pengkaji ialah model Kurt Lewis dan kajian dilaksanakan dalam tiga kitaran. Ketiga-tiga kitaran ini melibatkan proses mengenalpasti masalah, merancang, pelaksanaan, pemerhatian dan pengumpulan data serta refleksi. Sampel data diambil daripada 57 orang pelajar.


* c. PENGUMPULAN DAN ANALISIS DATA


Pengumpulan data dilakukan dengan menggunakan dua cara iaitu melalui kaedah kualitatif dan kuantitatif. Dalam kajian ini pengkaji menggunakan kaedah pemerhatian, temu bual dan soal selidik. Kaedah kualitatif diperolehi daripada pemerhatian dan temubual. Pemerhatian dilakukan semasa di dalam kelas, manakala temu bual dilakukan ke atas 15 orang pelajar yang dipilih secara rawak. Kaedah kuantitatif pula diperolehi melalui borang soal selidik yang diberikan kepada responden.


Selain itu, analisis data juga telah dilakukan dengan baik di mana analisis dilakukan bagi setiap data hasil dapatan kajian. Dapatan kajian menunjukkan 77.2 peratus pelajar bersetuju bahawa kaedah ini dapat menarik minat pelajar menguasai jawi. Selain itu 82.5 peratus pelajar bersetuju bahawa kaedah ini dapat membantu memhirkan mereka untuk menulis dan membaca jawi.


* d.IMPLIKASI KAJIAN


Implikasi kajian menunjukkan bahawa pelajar akhirnya seronok dan dapat meningkatkan kemahiran menguasai tulisan jawi. Ia juga menunjukkan bahawa objektif kajian telah tercapai dan cadangan serta penambahbaikan kajian juga diberi bagi meningkatkan atau meneruskan kajian sedia ada supaya menghasilkan satu proses kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik dan bermutu. Tambahan pula ia boleh dijadikan rujukan kepada guru-guru lain untuk mengaplikasikannya dan meneruskan kajian.


* e. APA YANG DIPELAJARI


Hasil daripada kajian ini, apa yang dapat saya pelajari ialah mengetahui proses kitaran model yang digunakan di dalam kajian. Malah, saya juga dapat mempelajari bagaiaman kaedah pengumpulan dan penganilisisan data dilakukan. Ianya amat berguna dan mungkin dapat saya gunakan untuk kajian tindakan saya pada masa akan datang. Malahan, saya berpendapat kaedah ‘congak jawi’ yang digunakan di dalam kajian ini boleh cuba diaplikasikan di dalam matapelajaran lain. Sekiranya ia memberikan kesan yang positif di dalam proses pengajaran dan pembelajaran, kaedah ini wajar diteruskan.


- Perbincangan: Kajian ini sesuai dengan kajian tindakan kerana ia objektif kajian adalah untuk meningkatkan penguasaan dan minat pelajar terhadap jawi. Dalam erti kata lain ianya bertujuan untuk meningkatkan mutu kaedah pengajaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta ia memberikan penyelesaian kepada masalah yang timbul. Penyelesaian yang diberi ialah dengan menggunakan kaedah congak jawi. Walaupun ia menggunakan kedua-dua kaedah kualitatif dan kuantitatif, ia masih menepati konsep kajian tindakan.







Sunday, October 25, 2009

TUGASAN KELAS: 10 SEBAB MENGAPA KAJIAN TINDAKAN ADALAH PENTING BAGI GURU

10 sebab mengapa kajian tindakan penting bagi guru ialah:

  • Menambah pengetahuan - Kajian yang dilakukan lazimnya berkait dengan sesuatu permasalahan atau persoalan yang timbul dari dalam diri dan pemikiran seseorang pengkaji. Contoh persoalan adalah seperti "apa situasi sebenar yang berlaku?" , " Kenapa perkara tersebut boleh berlaku?". Persoalan-persoalan seperti ini membolehkan guru mengkaji dan mencari punca atau penyebab sesuatu masalah itu berlaku di sekolah.
  • Mengenalpasti masalah dan mencari penyelesaian - Kesan daripada persoalan-persoalan seperti di atas, guru akan dapat mengenalpasti masalah yang berlaku sama ada di dalam kelas mahupun sekolah. Melalui kajian, guru akan mencari punca masalah tersebut berlaku dan seterusnya memberikan beberapa jalan penyelesaian kepada permaslahan tersebut.
  • Pembangunan sosial - Apabila guru melakukan kajian tentang sesuatu permasalahan dan mencari penyelesaian kepada permasalahan tersebut, guru akan dapat membantu masyarakat dalam memperbaiki dan mengatasi sesuatu masalah. Sebagai contoh apabila punca buli dan ponteng sekolah telah dikenalpasti guru dan masyarakat akan saling membantu mengatasi masalah tersebut. Ini seterusnya dapat mewujudkan pembangunan sosial yang baik.
  • Memperbaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran - Kajian juga boleh dilakukan bagi memperbaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Sebagai contoh sekiranya guru mendapati para pelajar tidak menumpukan perhatian di dalam kelas, kerap ponteng kelas, ataupun tidak menunjukkan minat untuk belajar guru boleh mengkaji punca mengapa pelajar berkelakuan sedemikian. Guru mungkin perlu mengubah kaedah pengajaran yang dilakukan bagi menarik minat pelajar untuk belajar.
  • Guru sebagai pengkaji - Melalui kajian tindakan guru akan menjadi pengkaji atau penyiasat kepada sesuatu bidang atau permasalahan. ini akan menjadikan guru mahir dalam mencari punca dan menyelesaikan sesuatu masalah yang berlaku di sekolah.
  • Menjadikan guru kreatif - Apabila sesuatu kajian hendak dilakukan guru perlu mengumpul dan mendapatkan data atau maklumat yang berguna. Guru juga perlu melakukan banyak pembacaan bagi menambah pengetahuan tentang kajian yang hendak dilakukan. Melalui pembacaan dan pengumpulan maklumat tersebut guru akan memperolehi banyak input dan ilmu yang mana seterusnya akan membantu untuk menjadikan guru kreatif.
  • Rujukan guru lain - Kajian tindakan yang telah dilakukan oleh sesorang guru boleh dikongsi dan dijadikan sebagai rujukan kepada guru-guru lain. Ianya dapat membantu guru lain dalam mengatasi masalah yang sama.
  • Meningkatkan mutu pendidikan - Apabila kajian tindakan dalam pendidikan dilakukan, ia dapat memperbaiki kelemahan dan seterusnya meningkatkan mutu dan kualiti pendidikan negara.
  • Mencapai matlamat pendidikan negara - kajian tindakan juga dapat membantu dalam memenuhi falsafah dan mencapai matlamat pendidikan negara di mana ia merupakan satu usaha ke arah melahirkan insan yang berpengetahuan, berakhlak, dan mencapai kesejahteraan dalam masyarakat.
  • Membina kemahiran melakukan penyelidikan - Tugas seorang guru bukan hanya setakat menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi guru juga harus bijak dan mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang lain. Kemahiran dalam bidang penyelidikan memberikan banyak kebaikan kepada guru dan ia juga dapat membantu dalam menjadikan guru holistik.